Isnin, 16 Mei 2011

Separuh Jiwanya Pergi

Baru minggu lepas bini Wak Kemot meninggal. Sejak dari hari meninggalnya bini Wak Kemot, dia tidak pernah terlepas walau sehari pun untuk menziarahi kuburan bininya itu. Sambil mengutip dedaun kering yang hinggap di atas kuburan bininya, Wak Kemot akan meratap. Ratapannya kadang-kadang mengganas dan tangan kanan Wak Kemot sama sekali tidak pernah curang untuk menyirami tanah kuburan bininya itu.

Keganjilan ini disedari oleh Ketua Kampung Purnama Mengecut, Tok Mat Manthop yang seringkali melihat anak buahnya, Wak Kemot meratap-ratap di atas kuburan bininya itu saban hari. Tok Mat Manthop menjadi simpati dan hampir sahaja simpati itu bertukar menjadi empati. Lalu Tok Mat Manthop berazam untuk berjumpa Wak Kemot di tanah perkuburan keesokan harinya.

Dari jauh Tok Mat Manthop dapat melihat susuk tubuh Wak Kemot. Wak Kemot dihampiri dan seperti lazimnya Wak Kemot sedang dalam keadaan meratap.

Tok Mat Manthop memberi salam lantas dijawab dingin oleh Wak Kemot. Tok Mat Manthop menepuk-nepuk bahu Wak Kemot seraya berkata "Barang yang lepas jangan diingat. Patah tumbuh hilang berganti. Setiap yang bernafas itu pasti akan menemui ajalnya. Kita yang masih hidup akan tetap meneruskan kehidupan ini. Janganlah bersedih sangat Wak. Aku sedia bantu jika kau perlukan apa-apa pertolongan."

Wak Kemot menatap wajah Tok Mat Manthop dengan tatapan sayu seolah separuh jiwanya telah pergi. Dalam kesayuan itu, Wak Kemot bersuara "Inilah yang aku risaukan Tok. Sebelum arwahnya pergi, dia sempat berwasiat. Seandainya aku ingin berkahwin lagi, pastikan tanah kuburannya ditumbuhi tumbuh-tumbuhan dulu. Sebab itulah Tok tiap-tiap hari aku ke kuburan bini aku ni, siram air bagi benih-benih sawi yang aku tanam atas tanah kubur ni tumbuh cepat. Tapi dari minggu lepas tak ada tanda-tanda benih ni nak berputik. Tu yang aku meratap tiap-tiap hari tu Tok. Sedih benar diri aku ni Tok. Nak kawin baru pun susah kena tunggu pokok tumbuh dulu. Apalah nasib".

Tok Mat Manthop menahan nafas. Seolah-olah separuh nyawanya yang hampir pergi...