Rabu, 30 Jun 2010

Keras

Di satu petang yang biasa-biasa je hembusan puputnya, Ameera Hany Fariheen bertanyakan satu soalan ala-ala enigma pada uminya.

"Umi.Banyak-banyak minuman atau makanan dalam dunia ni, minuman atau makanan apa yang paling keras?"

"Air Batu!"

"Salah."

"Ubi Kayu!"

"Salah."

"Badak Berendam."

"Salah."

"Dah tu apa?", Ummi Ameera Hany Fariheen surrender...

"MINUMAN KERAS!"

Baja Episod IX

Tidak seorang pun daripada kumpulan manusia itu yang mempedulikan akan kewujudanku di celah-celah mereka. Hal ini sudah ku jangka kerana melalui pengamatanku, mereka semua sedang khusyuk memerhatikan sesuatu. Sesuatu yang belum jelas dapat diperhatikan olehku. Lantas aku mengambil satu tindakan drastik untuk terus merempuh kepungan mereka. Tindakanku itu tidak disenangi oleh beberapa orang. Bagaimana aku tahu? Mudah sahaja. Aku telah ditolak kembali oleh mereka kebelakang. Mudah bukan. Tetapi aku tidak cepat putus asa. Mataku terus melilau melihat sudut-sudut yang sesuai. Cuba mencari geometri-geometri yang sepadan dan mataku sekali lagi bertindak dengan cemerlang. Aku telah dapat mengesan satu sudut yang tidak ramai orang disitu. Kenapa ya?

Baja Episod VIII

Pencarianku bernokhtah. Terpampang di depan mataku sebaris bangku panjang yang belum pun dinodai oleh punggung sesiapun lewat petang itu. Tidak tahulah aku kalau-kalau bangku itu sudah cukup ternoda pada masa-masa sebelumnya. Itu aku tidak peduli kerana jika aku pedulikan sekalipun hal itu, tidak akan ada orang yang akan memarahiku. Takut-takut aku yang dimarahi jika aku terlalu ambil peduli tentang hal itu. Ya, masakan ada orang yang mengaku kiranya aku ajukan soalan kepada khalayak ramai disitu siapa yang telah menodai sebuah bangku sebelumku. Ringan sahaja mulut mereka mengatakan aku gila. Sedang kakiku berkira-kira untuk menuju ke bangku tersebut, ekor mataku menghambat sesuatu yang cukup menarik perhatianku. Sekumpulan manusia yang mengerumuni sesuatu persis sekumpulan semut yang menghurungi cebisan gula. Tetapi aku cukup yakin, bukan gula yang sedang dikerumuni oleh kumpulan manusia itu. Lantaran rasa ingin tahu yang cukup meluap, kakiku menukar niat untuk menuju ke tempat perkumpulan manusia tersebut. Aku mengandaikan yang bangku tadi cukup bersyukur kerana tidak menjadi mangsa punggungku yang bersaiz XL itu. Ya, kalaupun ia makhluk yang tahu bersyukur.

Baja Episod VII

Lantaran rasa keseronokan dan kegembiraan itu, kakiku seolah-olah enggan berhenti berjalan. Kalaulah ditakdirkan yang kakiku itu tergolong di dalam golongan makhluk yang berlidah dan mempunyai mulut, ku kira ia akan pengsan kerana kehausan. Namun, kalau ia sudah dinobatkan sebagai kaki, masakan ia boleh menjadi kepala. Lantas situasi pengsan itu sama sekali tidak berlaku. Jauh sekali untuk ia menjadi realiti. Kalau wujud sekalipun hanyalah situasi kekejangan dan hal itulah yang sedang melanda kakiku waktu itu. Aku mengambil keputusan. Suatu keputusan yang aku tidak pasti siapa yang memutuskannya. Dengan mengambil kira keputusan itu datangnya dari dalam diriku tanpa paksaan sesiapa pun yang berada di sekelilingku ketika itu, maka aku nekad untuk berhenti. Tetapi berhentiku bukanlah secara mendadak dan tergesa-gesa. Seperti berhentinya satu pasukan tentera yang sedang berkawat lewat komandannya melaungkan perkataan BERHENTI! Tidak. Bukan seperti itu. Berhentiku ikut peraturan. Ikut proses. Aku berhenti berjalan dengan terlebih dahulu memperlahankan langkahku. Mataku melilau mencari sudut yang bakal menjadi habuan punggungku meratahnya.

Baja Episod VI

Penyesalan yang menebal dalam diri itu aku tambahkan lagi dengan melakukan aktiviti yang ku kira langsung tidak memberikan manfaat kepadaku. Berpelesaran di pusat membeli belah tanpa matlamat yang jelas. Ah! Bukan selalu aku berperilaku begini. Aku memujuk hati sendiri meskipun konotasi itu tidak memberikan sebarang impak pada raut wajahku yang sugul dan muram. Aku terus berjalan. Sungguhpun aku tahu aktiviti yang ku lakukan ini tergolong di dalam perkara yang kurang berfaedah, tetapi aku rasa seronok dan gembira. Mungkin kalau dapat ditafsirkan sekalipun hanya seronok dan gembira sahajalah yang mampu menafikan betapa tidak bermanfaat dan berfaedahnya aktiviti yang sedang aku lakukan ketika itu. Sekurang-kurangnya wujud juga kebaikan dalam keburukan.

Baja Episod V

Sekarang, mari kita menyelusuri akan penemuan berita ini. Seingatku, hari itu hari Ahad. Cuti hujung minggu. Itu kalau di Johor. Negeri tempat aku mencari sesuap nasi. Tetapi kalau kalian pergi ke Kelantan, jangan terkejut kalau urusan rasminya juga berjalan seperti biasa pada hari Ahad. Nah, ini kerana mereka mengambil hari Jumaat sebagai cuti. Alahai, satu perkiraan yang mudah. Buat apa memeningkan kepala memikirkan perbezaan ini. Lebih afdhal kalau kalian memikirkan tentang penemuan tadi. Itu baru mencabar minda namanya. Seperti biasa sebagai orang bujang, di hujung minggu seperti ini, aku mundar-mandir di pasar raya. Itu pun setelah selesai urusan ‘membalas dendam’ tidurku yang cukup terganggu sejak kebelakangan ini. Bukan terganggu dengan penemuan tadi. Penemuan tadi belum pun aku temui lagi saat itu. Tidurku terganggu dengan tugasan harian yang semakin hari semakin bertimbun. Namun demi tanggungjawab yang lebih berbentuk keperluan peribadi, aku gagahkan jua untuk melangsaikan tugasan itu. Kalian maklum bukan keperluan peribadi itu. Ya, sudah menjadi fitrah manusia. Dan akhirnya, cuti hujung minggu kali ini aku melambai matahari dengan kelopak mataku saat jam berdetik 12 kali. Suatu pengisian yang sungguh ku kesalkan.

Baja Episod IV

Apabila keributan fikiran ini timbul, secara peribadi aku akur. Kebesaran Tuhan tiada tandingnya. Dia Maha Iradah. Cukup sekadar menghendaki sesuatu itu terjadi, maka terjadilah ia. Tetapi sebagai hambaNya, aku tidak cepat mengalah. Bukan maksudku untuk mempertikaikan kekuasaan Tuhan. Na’uzubillahi minzalik. Tetapi sebagai makhluk kita harus mengkaji. Mencari hikmah disebalik penemuan ini. Namun harus dingatkan, pencarian dan pengajian kita terbatas sekadar kemampuan akal kita berfikir. Jangan sampai melampaui keterbatasan itu kerana dibimbangi, iman kita sayugia tergelincir. Pokok pangkalnya, segala urusan dunia yang tidak terpikul di bahu kita, kita serahkan kepada Yang Maha Kuasa untuk menentukan. Sebagai makhluk, kita hanya berusaha. Soal menjayakannya, itu urusan Ilahi.

Baja Episod III

Pada mula aku menerima berita ini, aku cukup sangsi. Mungkin benar. Tetapi semacam bohong. Bohong kerana tidak masuk akal. Benar kerana tiada yang mustahil. Kun Fayakun. Tuhan berfirman dalam Al-Quran. Bagi orang seperti aku yang cukup mengimani rukun iman yang enam, masakan akan menistakan kalam Tuhan Rabbul Izzati itu. Ya. Mungkin bagi mereka yang tidak cukup mengimaninya, maksudku Si Kafirin, sudah tentu mereka tidak percaya kerana semantiknya mereka hanya menerima sesuatu yang logik. Diterima akal, dapat dipegang, dihidu, dilihat dan dirasa oleh deria yang lima. Itu aku tahu. Tapi bagaimana dengan orang yang sepertiku. Mengimani rukun iman yang enam tetapi masih tidak mahu mempercayai akan kebesaran Tuhan. Susah bukan untuk menterjemahkannya.

Baja Episod II

Satu persoalan yang masih berlegar di benakku ini, yang sampai saat inipun masih belum kutemui jawapannya ialah bagaimanakah ia boleh berlaku. Penemuannya bukan secara kebetulan. Jauh sekali untuk mengatakan yang ia terhasil secara semulajadi. Mesti ada kaedah menemukannya. Tentunya ada matedologi untuk menghasilkannya. Pasti akan ada penemu dan penghasilnya. Bukan binatang, bukan tumbuhan kerana kedua-dua makhluk ini tidak mempunyai otak. Lebih jelas tidak berakal. Tetapi yang cukup diyakini, ia adalah perbuatan makhluk yang boleh berfikir. Siapa lagi kalau bukan manusia alias orang alias insan. Namun persoalan kedua yang terjelma dalam membicarakan hal ini ialah siapa? Siapakah manusia itu? Sulit. Cukup memeningkan kepalaku dan juga membingungkan kepala kalian.

Baja Episod I

Sampai saat ini pun aku masih bingung. Semacam mustahil. Hampir sahaja tidak percaya. Tapi itulah kenyataannya. Kalau aku beritakan hal ini kepada kalian pun mahu sahaja aku ditertawakan. Atau mungkin paling tidak, ada di antara kalian yang akan memberikan isyarat jari telunjuk yang sengaja dipusing-pusingkan di tepi kepala atas telinga. Simbolik untuk mengatakan aku nanar, sewel alias gila. Aku tidak kecil hati. Apalagi mahu memarahi kerana aku tahu memang perkara ini tidak masuk akal. Kalau ikut hukum alam, mana mungkin ia berlaku. Tak akan berlaku sama sekali melainkan ia kehendak Ilahi. Kalau itu yang aku hujahkan memang kalian akan diam. Diam sediam diamnya. Mulut kalian akan terkunci rapat tanpa sepatah bicara yang terlahir. Barulah ada di antara kalian nanti yang hanya mengangguk-anggukkan kepala. Konon tanda faham. Namun hakikatnya kalian tidak akan faham. Sengaja kalian buat begitu untuk menunjukkan kalian faham. Takut orang lain berprasangka kalian bodoh. Kerana hal itu pun kalian tidak dapat fahami. Yang pasti kalian tidak akan dapat faham sampai bila-bila pun. Sampai kalian mati atau kalau kalian panjang nyawa sekali pun, mungkin sampai hari kiamat.

Rabu, 16 Jun 2010

Kugiran INDIE di Malaysia vol. 2


Kalau kau rasa vol. 1 tak memberahikan, nah! Aku saji vol. 2.

Kugiran INDIE Malaysia vol. 1


Anda minat Kugiran INDIE [baca in die]? Berikut ialah senarai beberapa Kugiran INDIE yang terdapat di Malaysia. Sebahagian daripadanya masih wujud dan sebahagian daripadanya mungkin dah menemui jalan ke sorga...

Khamis, 10 Jun 2010

Magnet usus dan tarikan graviti perut

Santak bakal najis yang masih boleh dihadap, terpampang depan mata. Makhluk berkaki dua berekor di hadapan senang untuk menyiagakan bakal najis itu ke dalam hawa nafsu yang tidak bersemetri. Ibarat tarikan magnet tak berpenghujung. Semacam lohong hitam yang menghumbankan apa sahaja di dalamnya. Tiga puluh minit lagi untuk genap satu jam, graviti perut bernuansa irama sedih. Makhluk berkaki dua berekor di hadapan berlari-lari anak menuju pintu sakti. Di dalamnya ada mangkuk ajaib yang akur menerima lelehan dan nistaan. Ku kira kau tahu apa yang berlaku selepas itu. Ya, satu kelegaan yang mengalpakan.

pee/ais: Bicara bab perut terkadang mengkhayalkan.