Rabu, 30 Jun 2010

Baja Episod VII

Lantaran rasa keseronokan dan kegembiraan itu, kakiku seolah-olah enggan berhenti berjalan. Kalaulah ditakdirkan yang kakiku itu tergolong di dalam golongan makhluk yang berlidah dan mempunyai mulut, ku kira ia akan pengsan kerana kehausan. Namun, kalau ia sudah dinobatkan sebagai kaki, masakan ia boleh menjadi kepala. Lantas situasi pengsan itu sama sekali tidak berlaku. Jauh sekali untuk ia menjadi realiti. Kalau wujud sekalipun hanyalah situasi kekejangan dan hal itulah yang sedang melanda kakiku waktu itu. Aku mengambil keputusan. Suatu keputusan yang aku tidak pasti siapa yang memutuskannya. Dengan mengambil kira keputusan itu datangnya dari dalam diriku tanpa paksaan sesiapa pun yang berada di sekelilingku ketika itu, maka aku nekad untuk berhenti. Tetapi berhentiku bukanlah secara mendadak dan tergesa-gesa. Seperti berhentinya satu pasukan tentera yang sedang berkawat lewat komandannya melaungkan perkataan BERHENTI! Tidak. Bukan seperti itu. Berhentiku ikut peraturan. Ikut proses. Aku berhenti berjalan dengan terlebih dahulu memperlahankan langkahku. Mataku melilau mencari sudut yang bakal menjadi habuan punggungku meratahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan