Rabu, 30 Jun 2010

Baja Episod V

Sekarang, mari kita menyelusuri akan penemuan berita ini. Seingatku, hari itu hari Ahad. Cuti hujung minggu. Itu kalau di Johor. Negeri tempat aku mencari sesuap nasi. Tetapi kalau kalian pergi ke Kelantan, jangan terkejut kalau urusan rasminya juga berjalan seperti biasa pada hari Ahad. Nah, ini kerana mereka mengambil hari Jumaat sebagai cuti. Alahai, satu perkiraan yang mudah. Buat apa memeningkan kepala memikirkan perbezaan ini. Lebih afdhal kalau kalian memikirkan tentang penemuan tadi. Itu baru mencabar minda namanya. Seperti biasa sebagai orang bujang, di hujung minggu seperti ini, aku mundar-mandir di pasar raya. Itu pun setelah selesai urusan ‘membalas dendam’ tidurku yang cukup terganggu sejak kebelakangan ini. Bukan terganggu dengan penemuan tadi. Penemuan tadi belum pun aku temui lagi saat itu. Tidurku terganggu dengan tugasan harian yang semakin hari semakin bertimbun. Namun demi tanggungjawab yang lebih berbentuk keperluan peribadi, aku gagahkan jua untuk melangsaikan tugasan itu. Kalian maklum bukan keperluan peribadi itu. Ya, sudah menjadi fitrah manusia. Dan akhirnya, cuti hujung minggu kali ini aku melambai matahari dengan kelopak mataku saat jam berdetik 12 kali. Suatu pengisian yang sungguh ku kesalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan