Ahad, 15 Ogos 2010

Baja Episod XI

Melihat akan susuk tubuhnya pada pandangan belakang, aku cukup yakin yang dia adalah seorang lelaki. Keyakinanku ditambah dengan bunyi suaranya yang semacam garau saat dia sedang berbicara. Apatah lagi susuk tubuh itu dibaluti oleh pakaian yang pada lumrahnya hanya dipakai oleh golongan lelaki, T-Shirt dan seluar jeans. Namun sangkaanku nyata meragukan sepantas aku terpandang bonjolan mekar yang menghiasi kawasan dadanya saat dia berpaling dan aku melihat badannya dari pandangan sisi. Suatu bonjolan besar dan pejal yang ku anggap ia bukan milik spesis manusia dari kalangan lelaki meskipun lelaki tersebut berbadan gemuk dan gempal. Aku cukup arif akan biologi manusia dan menyimpulkan bahawa bonjolan itu bukan milik seorang lelaki. Tetapi lebih mirip kepada kepunyaan seorang perempuan. Kearifanku berkenaan hal-hal biologi fizikal manusia ini aku perolehi hasil penat lelahku mengkaji melalui pembacaanku di majalah-majalah dan internet. Kalian maklum bukan. Tinggalkan perbincangan mengenai kearifanku mengenali hal-hal yang berkaitan dengan biologi fizikal manusia itu kerana apa yang lebih penting sekarang ini ialah mencari titik pertemuan kepada kontradiksi yang terpamer di hadapan mataku ini. Puas aku memikirkan. Maha Suci Tuhan yang menjadikan sesuatu.

Baja Episod X

Kemusykilanku terlerai saat aku berada di sudut itu. Suatu sudut yang dibelakangi oleh penyebab mengapa orang ramai berkumpul di situ pada waktu itu. Di sudut itu, aku dapat melihat dengan jelas susuk tubuh bahagian belakang seseorang yang sedang berbicara dan juga menjadi wadah perkumpulan manusia di petang itu. Aku terus menidakkan kecemerlangan mataku. Sudahnya, aku terpaksa menahan derita menyaksikan susuk tubuh belakang orang tadi, walaupun jiwaku meronta-ronta untuk menyaksikan wajahnya. Mujur, gaya bicaranya yang bersahaja dan mampat dengan unsur lelucon mampu memujuk hatiku yang di ambang kemarahan. Aku cukup asyik dan terbuai dengan kata-katanya yang lancar dan terang sehinggakan kakiku terpahat untuk terus berdiri menyaksikan bicara orang itu meskipun di awal tadi aku seolah tidak mampu menahan kekejangan kakiku. Petanda betapa hebatnya bicara orang yang langsung tidak ku kenali itu.