Rabu, 30 Jun 2010

Baja Episod VIII

Pencarianku bernokhtah. Terpampang di depan mataku sebaris bangku panjang yang belum pun dinodai oleh punggung sesiapun lewat petang itu. Tidak tahulah aku kalau-kalau bangku itu sudah cukup ternoda pada masa-masa sebelumnya. Itu aku tidak peduli kerana jika aku pedulikan sekalipun hal itu, tidak akan ada orang yang akan memarahiku. Takut-takut aku yang dimarahi jika aku terlalu ambil peduli tentang hal itu. Ya, masakan ada orang yang mengaku kiranya aku ajukan soalan kepada khalayak ramai disitu siapa yang telah menodai sebuah bangku sebelumku. Ringan sahaja mulut mereka mengatakan aku gila. Sedang kakiku berkira-kira untuk menuju ke bangku tersebut, ekor mataku menghambat sesuatu yang cukup menarik perhatianku. Sekumpulan manusia yang mengerumuni sesuatu persis sekumpulan semut yang menghurungi cebisan gula. Tetapi aku cukup yakin, bukan gula yang sedang dikerumuni oleh kumpulan manusia itu. Lantaran rasa ingin tahu yang cukup meluap, kakiku menukar niat untuk menuju ke tempat perkumpulan manusia tersebut. Aku mengandaikan yang bangku tadi cukup bersyukur kerana tidak menjadi mangsa punggungku yang bersaiz XL itu. Ya, kalaupun ia makhluk yang tahu bersyukur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan